ROADCARE MENERUSKAN USAHA MENDIDIK PARA PELAJAR

  by    0   0
ROADCARE MENERUSKAN USAHA MENDIDIK PARA PELAJAR 

 

Dari kiri: YBr Pn Siti Habsah Bt Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti, YBhg Tn Hj Zulakmal b Hj Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, JKR Malaysia, Pengarah JKR Selangor, YBhg Tn Ir. Shahabuddin b Mohd Muhayidin dan YBhg Dato’ Wan Imran Wan Omar, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Penyenggaraan, Protasco


PUCHONG, 25 Sept – Lebih 436 orang pelajar serta guru di Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti pada hari ini telah mendapat manfaat dari ceramah berkenaan Keselamatan Jalan Raya dan bantuan persekolahan, melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah diusahasamakan  oleh  Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anak syarikat Protasco Berhad, Roadcare (M) Sdn Bhd (Roadcare).
 
Untuk majlis ini, pihak Roadcare bukan sahaja menjemput pakar dari JKR untuk segmen ceramah, malahan demonstrasi, penerangan dan pelbagai tip keselamatan jalan raya turut dikongsikan dalam majlis tersebut. Sumbangan berjumlah RM5,000.00 kemudiannya disampaikan kepada pihak sekolah untuk menambah baik infrastruktur yang sedia ada di sekolah.

 

Selaku peneraju kepakaran penyenggaraan dan pemulihan jalan raya di Malaysia, Roadcare sentiasa menjalankan program tanggungjawab sosial korporat sebegini dari semasa ke semasa. Majlis pada hari juga merupakan kesinambungan siri-siri program serupa yang telah dijalankan saban tahun.

 

Program pendidikan keselamatan jalan raya yang dirasmikan oleh YBhg Tn Hj Zulakmal b Hj Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, JKR Malaysia turut menyaksikan penyampaian bantuan persekolahan bernilai RM120 setiap seorang oleh pihak Roadcare kepada  52 pelajar-pelajar asnaf di sekolah tersebut. Kesemua 52 pelajar-pelajar asnaf ini menerima bantuan beg sekolah, alat tulis berserta wang saku. Kelengkapan alat tulis juga diagihkan kepada semua 436 pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti.

 

Menurut YBhg Dato’ Wan Imran Wan Omar, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Penyenggaraan, Protasco, “Protasco dan Roadcare mempunyai misi yang jelas dalam memastikan komuniti setempat sentiasa mendapat manfaat melalui program-program pendidikan. Menyedari hakikat peri pentingnya pendidikan dalam mencorak masa depan yang lebih cerah, kami sentiasa menggalakkan usaha murni sebegini dijalankan oleh kesemua anak-anak syarikat sebagai satu penghargaan dan bantuan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat dalam kawasan operasi”.

 

Protasco Berhad serta anak-anak syarikat sentiasa meletakkan operasi syarikat yang lebih lestari sebagai objektif perniagaan. Oleh yang demikian, majlis sebegini menjadi platform perkongsian rezeki, acara beramah mesra dan acara ‘turun padang’ yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat serta pelbagai pihak berkepentingan yang lain.  Apa yang lebih penting, ini merupakan program pendidikan keselamatan jalan raya yang berfaedah dan sangat berguna untuk semua pihak.

Comments are closed.