Ekonomi Malaysia perlu suntikan tunai segera untuk imbang kesan buruk Covid-19

  by    0   0

KOMENTAR, 20 Mac — Kerajaan perlu memberikan wang tunai kepada rakyat segera, kalau boleh sekarang juga.

 

Tindakan pertama yang kerajaan perlu ambil adalah membekukan Potongan Cukai Bulanan (PCB) daripada gaji dan juga bayaran CP204, iaitu cukai terdahulu yang dibayar oleh perniagaan. Selanjutnya, kerajaan memulangkan  semula potongan PCB and bayaran CP204 sepanjang 12 bulan yang lepas.

 

Ini boleh dilaksanakan serta-merta kerana ia berada dalam kemampuan kerajaan. Tidak perlu isi borang atau penuhi sebarang syarat. Hanya tekan butang dan kembalikan tunai kepada semua orang yang telah dikenakan potongan itu, terutamanya kepada golongan yang memerlukannya sekarang.

 

Mengembalikan semula potongan cukai dengan memasukkan terus ke dalam akaun bank golongan pekerja akan membolehkan mereka menanggung keperluan anak serta ibu bapa yang uzur, dan membeli  keperluan harian.

 

Mengembalikan potongan CP204 pula akan membolehkan peniaga membayar gaji harian dan bulanan pekerja mereka, dan membayar pembekal supaya pembekal itu pula boleh membayar gaji harian dan bulanan pekerja mereka serta pembekal mereka.

 

Inil adalah satu cara untuk mengelakkan kesan “cash crunch” (keruntuhan tunai) yang bakal berlaku nanti. Pakej stimulus pertama RM20 bilion yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memang memadai jika tiada krisis wabak ini.

 

Sebaliknya, pakej stimulus kedua bernilai beberapa bilion ringgit yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tidak mencukupi. Ini adalah kerana Perintah Kawalan Pergerakan kerajaan untuk dua minggu ini telah mengubah segala-galanya.

 

Yang paling penting buat masa ini adalah untuk kerajaan tidak menarik keluar wang daripada ekonomi dan daripada poket peniaga. Wang tunai ini perlu kekal dalam ekonomi dan digunakan untuk memastikan survival rakyat. Jangan mudah meneirma nasihat orang yang mengaku “pakar” yang menolak tindakan ini kononnya kerana takut dengan hutang negara.

 

Tanpa suntikan tunai, ekonomi negara akan menyaksikan kemuflisan dan keruntuhan sektor perniagaan. Ramai peniaga kecil akan gulung tikar dan golongan yang bergantung kepada mereka akan terjejas teruk – seperti penjaja yang menggajikan pencuci pinggan, dan perniagaan kecil yang membayar abang dispatch, kakak pencuci dan uncle suratkhabar.

 

Selain itu, kerajaan patut menaikkan gaji petugas barisan hadapan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Pekerja dan petugas barisan hadapan perlu dibayar lebih — polis, bomba, paramedik, jururawat, pembantu hospital.

 

Ini bukan masanya untuk bercakap tentang sumber pendapatan kerajaan, bon 1MDB, defisit belanjawan kerajaan. Yang patut kerajaan lakukan sekarang ialah menyakinkan rakyat bahawa anda tahu apa yang anda laksanakan demi rakyat. Dan tunjukkan bahawa anda tahu apa yang ekonomi perlukan, iaitu suntikan tunai segera.

 

Jangan risau sama ada kerajaan mampu atau tidak. Kerajaan perlu tegas dan memahami kata-kata Penerima Hadiah Nobel dan pakar ekonomi Joseph Stiglitz: “Apabila Amerika Syarikat diserang dalam Perang Dunia Kedua, tiada siapa yang bertanya ‘mampukah kita berperang?’ Ini soal hidup mati kita. Kita tiada pilihan, kita terpaksa berjuang dalam peperangan itu.”

 

Apakah peranan sebenar kerajaan jika bukan untuk berkhidmat demi rakyat, terutama dalam masa yang amat genting ini? Apa guna rakyat dan peniaga membayar cukai jika pemimpin takut untuk bergerak dan berjuang demi kebajikan, keselamatan dan kepentingan rakyat.

 

Memang kita penting kita jaga kita tetapi kerajaan harus memainkan peranan utama untuk menjaga kita semua.

 

* Lee Siew Lian adalah seorang usahawan komunikasi yang turut membaca Malay Mail.

Comments are closed.