2,180 PELAJAR DALAM PARLIMEN TEMERLOH MENERIMA SUMBANGAN ‘EXAM KIT’ DARIPADA ROADCARE

  by    0   0
2,180 PELAJAR DALAM PARLIMEN TEMERLOH MENERIMA SUMBANGAN ‘EXAM KIT’ DARIPADA ROADCARE

 


(Baju Kuning dari kiri) Tuan Hj Azlan b. Abd Rahman, Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Daerah Temerloh, Tuan Hj Wan Abdul Hamid b. Hj Wan Muhammad, Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, YB Tuan Hj Mohd Anuar B. Mohd Anuar, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Ybhg Dato’ Wan Imran Wan Omar, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Penyenggaraan Protasco Berhad dan Tuan Hj Zaberi Abdul Hamid, Pengetua SMK Abu Bakar bersama wakil –wakil pelajar daripada 20 sekolah yang terlibat.
 
TEMERLOH, 2 Oktober 2019 – Syarikat konsesi penyenggaraan dan pemulihan jalan raya yang juga anak syarikat Protasco Berhad; Roadcare (M) Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada hari ini menyerahkan sumbangan ‘Exam Kit’ berupa kelengkapan alat tulis kepada 2,180 pelajar calon-calon SPM dan STPM dalam parlimen Temerloh.

Program yang mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Temerloh itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Temerloh, YB Tuan Hj Mohd Anuar B Mohd Tahir.

YB Tuan Hj Mohd Anuar menyifatkan program tanggungjawab sosial korporat yang dikelolakan oleh Roadcare ini merupakan suatu usaha murni syarikat swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PPD dalam memberikan dorongan yang berterusan kepada para pelajar.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah YBhg Dato’ Wan Imran Wan Omar, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Penyenggaraan, Protasco Berhad. Beliau berharap kesemua pelajar dalam daerah Temerloh akan mencapai keputusan cemerlang di dalam SPM dan STPM nanti.

“Sumbangan yang diberikan pada hari ini diharap mampu membantu kesemua calon peperiksaan terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah, mempersiapkan diri mereka  menjelang peperiksaan penting yang akan diduduki nanti. Pada masa yang sama, ia sebagai tanda motivasi daripada kami kepada semua pelajar yang terlibat” katanya kepada pemberita dalam majlis tersebut.

Protasco dan Roadcare mempunyai misi yang jelas dalam memastikan komuniti setempat dalam kawasan operasi sentiasa mendapat manfaat. Menyedari hakikat peri pentingnya pendidikan dalam mencorak masa depan yang lebih cerah, anak-anak syarikat digalakkan mengadakan program bantuan sebegini. Majlis pada hari ini juga merupakan kesinambungan siri-siri program serupa yang telah dijalankan saban tahun.

Sumbangan yang bernilai lebih RM25,000 ini akan dapat dimanfaatkan oleh 1,911 calon SPM dan 269 calon STPM daripada 20 buah sekolah dalam daerah Temerloh pada tahun ini.

Comments are closed.